Pages

19 September 2014

MENCARAI YANG HALAL DAN BERKAT SATU KEFARDHUAN

Perkara penting dalam mencari rezeki bukannya berapa banyak yang kita perolehi tetapi sebaliknya adalah keberkatan pada rezeki tersebut. 

Rezeki melimpah -ruah tidak sama konsepnya dengan rezeki yang halal dan berkat. Ada orang mempunyai rezeki yang banyak tetapi sayangnya tidak terdapat unsur keberkatan. Kita sering merasakan tidak pernah cukup untuk menampung kehidupan diri dan keluarga. Kita juga mengeluh apabila gaji banyak mana pun tidak menjamin hidup selesa dan bahagia. Hakikatnya fenomena begitu amat terkait dengan perilaku sendiri dalam melaksanakan amanah dalam pekerjaan seharian. Memang masih ramai tidak segan silu melakukan perbuatan curang dalam pekerjaan seharian. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“ Dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” 
 - Riwayat at Tirmizi.

Mungkin kita tidak menyedari kerja yang dilakukan dengan penuh dedikasi tanpa unsur penyelewengan akan membawa keberkatan. Manakala perlakuan curang dalam pekerjaan akan membawa padah. Curang dimaksudkan penulis adalah sikap tidak amanah seperti curi tulang, kerja sambil lewa, menipu kedatangan, buat kerja sampingan yang tidak memenuhi kontrak pekerjaan sebagaimana termeterai dengan majikan.

Menurut perspektif Islam, keberkatan rezeki yang diinginkan adalah bermaksud rezeki yang bertambah dan mengandungi kebaikan. Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa cara agar rezeki menjadi lancar, berkat dan halal. 
Antaranya;

1. Menjauhi pekerjaan haram dan syubahat.
2. Bekerja sungguh-sungguh.
3. Mengadu masalah rezeki hanya kepadaNya.
4. Memperbanyakkan beristighfar.
5. Sabar dan banyak membaca “la hawla wa laa quwwata illa billah”.
6. Tawakal sepenuhnya kepada Allah SWT.
7. Bersedekah dan menafkahkan harta kepada yang berhak.
8. Tolong agama Allah dengan menegakkan syariat Islam

Hilangnya keberkatan bermakna manusia tidak lagi memperolehi kebahagiaan hakiki dan ketenangan dalam hidup yang dijanjikan Allah SWT kepada orang Islam bertakwa serta bekerja dengan ikhlas mengikut ajaran dan prinsip Islam sejati. Ini menyebabkan hidup kita dalam kesulitan, hubungan suami isteri berantakan, anak bermasalah dan rezeki yang diperoleh tidak pernah rasa cukup.

Sebaliknya rezeki yang berkat walaupun sedikit tetap cukup dan memenuhi keperluan hidup yang pelbagai. Menurut ulama, makna keberkatan sebagai as-saadah al-haqiqiah(kebahagiaan hakiki) dan az-ziadah (nilai tambah) dalam kehidupan. Ini tentunya dapat menceriakan diri dan memenuhi keperluan rumah tangga. Itulah pentingnya mencari rezeki halal dengan berpegang teguh kepada segala peraturan, prinsip dan nilai sebagaimana digariskan Islam. Mudah-mudahan dengan bekerja bersungguh-sungguh mencari rezeki halal itu kita sentiasa berada dalam kebahagiaan dan ketenangan lantaran dilimpahi rahmat dan berkat Allah SWT. Marilah kita menolong agama Allah, agar murah rezeki kita, lancar, halal dan berkat.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: 

“Barang siapa tertimpa kemiskinan, kemudian ia mengadukannya kepada sesama manusia, maka tidak akan tertutup kemiskinannya itu. Namun, siapa sahaja yang mengadukannya kepada Allah, maka Allah akan memberinya rezeki, baik segera ataupun lambat”.
-Riwayat Abu Daud dan al Tirmizi

copy paste dari:
Tazkirah Mingguan (Suara Ukhwah) UiTM Puncak Alam & Puncak Perdana

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...